Misteri Dilaila: Selamat Kembali Syafiq Yusof!

Saya mengikuti perkembangan Syafiq Yusof sejak dari mula dia cuba cuba menjadi pengarah dengan mengarah beberapa filem pendek di akaun youtube peribadinya. Syafiq kemudiannya menjadi pengarah termuda ketika menghasilkan filem SAM. Cubaan pertama dari anak muda ini berjaya mengutip RM 1.88 juta, jumlah yang tidaklah sebanyak kutipan filem-filem arahannya pada tahun-tahun mendatang (kecuali Desolasi) tetapi cukup memberi petanda yang ada sesuatu dari anak muda berusia 18 tahun ini (ketika dia mengarah filem SAM) yang perlu diberi perhatian. SAM, walaupun tidaklah sempurna menampakkan semangat membuak buak Syafiq dalam mempersembahkan karyanya. Dengan jalan cerita yang lain dari kebiasaan, Syafiq menghidangkan satu permainan baru untuk penggemar filem Malaysia yang pada ketika itu masih berada pada era di mana filem filem mat motor dan seram komedi seperti Adnan Sempit, Mael Lambong dan Hantu Gangster diraikan. Melalui filem SAM, Syafiq berjaya menggenggam trofi Pengarah Harapan pada Festival Filem Malaysia ke 25. Tidak ada permulaan yang lebih baik boleh diharapkan oleh pengarah muda ini selepas semua kejayaan dan reaksi positif terhadap filem pertama arahannya.

Tetapi, entah di mana silapnya, tahun tahun selepas SAM menyaksikan Syafiq keluar dengan hasil hasil yang tidak sebaik filem pertamanya itu. Abang Long Fadil, filem pertamanya selepas SAM menyaksikan Syafiq cuba bermain dengan kesan khas di dalam filemnya. Cubaan yang baik namun tidak mampu menyelamatkan senaskah filem yang kelihatan tolol. Hakikatnya, untuk menghasilkan filem komedi ala Stephen Chow seperti Abang Long Fadil sangatlah berisiko kerana hanya satu garis halus memisahkan antara komedi dan tolol dan Abang Long Fadil pada pendapat peribadi saya lebih tolol dari kelakarnya. Kemudian Syafiq cuba menghasilkan filem seram, Villa Nabila yang saya kira hanya sekadar ‘following the hype train’ memandangkan kisah Villa Nabila sedang hangat diperkatakan masyarakat Malaysia pada ketika itu. Desolasi pula merupakaan cubaan Syafiq untuk bermain dengan kesan khas di dalam filemnya secara serius. Sebuah filem dengan premis yang baik tetapi idea tersebut terlalu besar untuk diangkat oleh Syafiq. Tahun 2018, Syafiq mempertaruhkan KL Special Force, sebuah filem aksi yang kemas tetapi dicacatkan dengan lakonan kayu beberapa pelakon utamanya dan pada akhirnya tidak lebih dari sekadar Gerak Khas yang dibikin dengan lebih baik. Saya tidak perlu membincangkan Mat Moto dan Abang Long Fadil 2 kerana sehingga hari ini saya belum menonton kedua dua filem tersebut.

Jadi, secara jujurnya, saya tidak meletakkan sebarang harapan ketika pertama kali pertama menyaksikan trailer Misteri Dilaila. Namun, ada sesuatu yang menarik minat saya tentang filem ini iaitu Syafiq kembali bermain dalam gelanggang thriller, satu genre yang telah lama dia tinggalkan semenjak SAM!

Menonton beberapa minit awal Misteri Dilaila, saya sekali lagi merasa bakal dikecewakan dengan naskah terbaru Syafiq Yusof ini. Filem ini dimulakan dengan beberapa babak babak janggal antara Zul Ariffin dan Elizabeth Tan dengan dialog dialog kaku ala drama 90 an. Pilihan efek transisi antara babak oleh penyunting filem, yang juga Syafiq sendiri juga tidak membantu kerana efek efek seperti ‘dissolve’ dan ‘wipe’ tampak ketara digunakan lagi lagi apabila babak babak berdurasi pendek dipaparkan dengan banyak potongan melalui sudut perspektif kamera yang berbeza. Hal ini sebenarnya sedikit mengganggu sehingga saya terdengar rungutan dari penonton lain yang mengatakan dia ‘pening’ dengan permainan kamera dan efek transisi yang dipersembahkan Misteri Dilaila sebaik tamat filem. Walaupun pelik, tetapi saya tetap cuba bersangka baik. Mungkin Syafiq sedang bereksperimentasi dengan permainan kamera dan efek transisi yang dimasukkan untuk menambah debar filem.

Mujur filem ini semakin menarik sebaik konflik mula wujud apabila watak Dilaila lakonan Elizabeth Tan mulai hilang dan menghantui Jeff lakonan Zul Arifin. Ternyata lakonan Elizabeth Tan ketika menjadi ‘hantu’ tanpa sebarang dialog jauh lebih baik dari ketika dia menjadi manusia. Filem ini terus bergerak dalam merungkaikan misteri kehilangan Dilaila dengan beberapa watak lain diperkenalkan sepanjang cerita. Disinilah Syafiq bijak bermain dengan teknik penceritaan sehingga penonton masih tertanya tanya siapa sebenarnya yang ‘gila’ sepanjang cerita. 

Walaupun filem ini tidaklah menyajikan sesuatu yang baru bagi sesetengah penonton seperti saya yang sudah banyak kali dihidangkan dengan filem filem thriller yang hampir serupa seperti Shutter Island, Forgotten dan The Invisible Guest, tapi Syafiq bijak dalam memastikan Misteri Dilaila tidak jatuh kedalam perangkap stereotype filem filem thriller di mana penonton sudah mula dapat mengagak apa sebenarnya yang berlaku. Syafiq, dalam cubaan gilanya menyajikan dua penamat berbeza untuk filem ini dan kedua duanya ditayangkan di pawagam dengan penonton tidak dimaklumkan terlebih dahulu versi mana yang bakal mereka tonton! Kita tanpa sedar sedang bertaruh dengan dua kemungkinan dengan Syafiq seakan akan satu langkah di depan dan sedang mentertawakan kita semua dalam cubaan kita(penonton) untuk ‘tunjuk pandai’ dalam menduga jalan cerita. Pada akhirnya, kita semua rupanya sedang bermain dalam permainan ciptaan Syafiq Yusof dalam pada kita sibuk merungkai siapa sebenarnya Dilaila!

Sebenarnya formula filem ‘multi ending’ ini bukanlah sesuatu yang baru. Filem Clue (1985) arahan Jonathan Lynn pernah menggunakan formula yang sama malah lebih lagi dengan menyajikan empat penamat berbeza sehingga menjadi bualan penonton ketika itu. Satu lagi filem thriller yang pernah menggunakan formula sama, The Butterfly Effect lakonan Ashton Kutcher juga mempunyai empat penamat yang berbeza. Kelemahan formula seperti ini adalah apabila akan ada penamat yang lebih baik dari penamat penamat yang lain dan kesannya, reaksi penonton terhadap filem tersebut akan berbeza berdasarkan versi penaat yang mereka lihat. Untuk misteri Dilaila, saya tidak pasti akan kesudahan versi yang satu lagi tapi untuk versi yang saya lihat di mana jalan ceritanya hampir sama dengan Forgotten, penamatnya boleh di terima akal.

Saya tidak pasti sama ada elemen komedi dalam Misteri Dilaila adalah disengajakan atau pun tidak tetapi Misteri Dilaila juga sememangnya filem yang penuh komedi. Shot shot dekat yang silih berganti dengan potongan pantas ketika babak babak misteri mengingatkan saya dengan filem filem komedi pendek ciptaan Keegan Michael Key dan Jordan Peele yang menggunakan teknik sama dalam menggerakkan elemen komedi. Misteri Dilaila berjaya dalam hal ini sehinggakan pada satu ketika penonton ketawa tanpa henti dari satu babak ke satu babak walaupun tidak ada satu gerak atau dialog komedi pun sedang dilontarkan para pemainnya. Tetapi hal ini tidaklah mengejutkan kerana kunci kepada kedua dua elemen seram dan komedi sebenarnya sama iaitu bermain dengan masa dan Syafiq Yusof melalui suntingannya berjaya dalam hal ini.

Kesimpulannya, Misteri Dilaila merupakan sebuah filem yang  baik. Filem ini berjaya menebus kegagalan Syafiq untuk menghasilkan naskah yang sekurang kurangnya setara dengan filem pertama arahannya sebelum ini. Melalui Misteri Dilaila, Syafiq berjaya mengembalikan magis dan membuktikan genre thriller merupakan ‘forte’ nya. Sejujurnya, saya tersenyum sebaik tamat filem ini kerana pada hemat saya, anak muda yang pernah menggenggam pengarah harapan ini telah kembali setelah beberapa siri eksperimen kreatif panjang yang kurang memuaskan dalam naskah naskah sebelum ini. Selamat kembali Syafiq Yusof!

Misteri Dilaila: Selamat Kembali Syafiq Yusof!
Saya mengikuti perkembangan Syafiq Yusof sejak dari mula dia cuba cuba menjadi pengarah dengan mengarah beberapa filem pendek di akaun
Read more.
Sokola Rimba: Hak Pendidikan Anak Anak Rimba
Pendidikan adalah hak untuk setiap kanak kanak di dunia. Menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014, seramai 60.12 juta
Read more.
New Year, New Day and Two Spanish Films
The Bar I always like ‘whodunit’ type of film and was expecting The Bar (el Bar) is one of that
Read more.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *