One Two Jaga

Filem ini adalah realiti dan realiti selalunya tak fun dan hodoh. Bukan aku nak cakap filem ni buruk, tapi jangan kau ‘expect’ apa yang selalu kau tengok dalam filem filem lokal yang lain. Watak polis dalam filem ni tak macam dalam drama ‘Oh Abang Polis’ yang segak, kacak dan duduk di rumah semi-D dengan sekurang kurangnya memakai kereta buatan Jepun kalaupun tidak kereta buatan Eropah. Polis dalam filem ini boroi, duduk rumah flat biasa dan memakai kereta Wira buruk. Kuala Lumpur dalam filem ini bukan lah sekitar Bukit Bintang yang tersergam indahnya Pavilion. Kuala Lumpur dalam filem ini adalah Chow Kit yang penuh sisi kotor dengan ribuan warga asingnya. Dari situ kau dah boleh agak filem ni macamana kan?

Filem ini digerakkan oleh barisan pelakon yang pandai berlakon. Buktinya, Namron berani menghidangkan banyak scene dengan close-up shot supaya penonton dapat rasa dan selami emosi sesuatu karakter dalam scene tersebut. Percayalah close-up shot ni kalau dipadankan dengan pelakon yang tak pandai berlakon akan nampak hodoh sehodoh hodohnya. Zahiril Adzim membawa peranan Hussein, seorang anggota polis yang baru bertugas dengan baik. Emosi dan gelojak perasaan Hussein yang keliru, bingung dan tersentak dengan realiti alam pekerjaannya dibawa dengan cemerlang oleh Zahiril walaupun dalam diam. Zahiril memang pakar dalam melontarkan emosi dan menggerakkan watak walaupun tanpa sebarang dialog, dia pernah melakonkan watak yang jauh lebih kompleks dalam Pekak. Dr. Rosdeen Suboh pula tak perlu kita pertikaikan lagi tahap lakonan dia macamana dan aku rasa salah satu sebab kau patut tengok filem ni sebab dia berlakon- bukan senang nak tengok dia berlakon filem!

Amerul Affendi macam biasa, sentiasa menjadi perencah tambah yang menaikkan rasa dalam setiap filem/drama lakonannya. Amerul Affendi ni aku kira macam perencah cheese dalam Samyang Ramen perisa Cheese tu, kalau takde dia kurang rasa. Aku juga tertarik dengan lakonan Ario Bayu yang membawa watak pekerja Indonesia – bagaimana wataknya melalui proses dan pengembangan dari seorang immigran yang akur dan menurut kepada babak babak akhir dimana dia ditekan dan keadaan menjadikan dia seorang lagi pendatang yang syaitan (secara tidak sedar). Aku suka babak ketika dia menghela nafas lega ketika terselamat dari Hussein dan Hassan di belakang lori dan hujan turun seakan akan memberi simbol penghidupan semula padahal dia dan kita semua tertipu kerana hujan tersebut sebenarnya membawa simbol kemusnahan dan reaksi watak Sugiman lakonan Ario Bayu sepanjang babak babak ini sangat mengujakan.

FIlem ini kelabu dan kau tak akan memenangkan mana mana watak. Aku tak tahu kalau ini satu kelemahan atau kelebihan sebab selalunya filem akan digerakkan dengan satu watak utama tak kira baik atau jahat yang kita akan ‘ rooting for the character ‘ dan kalaupun ending sesuatu filem itu berakhir dengan tragis kita akan menangisi kecelakaan yang menimpa watak tersebut. Tapi untuk filem ini, tiada hitam atau putih – semuanya kelabu. Kita tidak akan membenci atau menyayangi mana mana watak (kecuali beberapa watak korup anggota polis Malaysia, celakalah kamu!). Masing masing melakukan sesuatu atas desakan realiti dan pada akhir cerita tiada siapa yang menang. Kita faham kenapa Hussein bertindak begitu dan kita juga faham situasi yang dihadapi Sugiman dan para pendatang asing lain di dalam filem ini.

‘Vibe’ filem ini seakan akan filem filem Namron lain seperti Gadoh dan Gedebe (dan mungkin Songlap yang juga tulisan Fared Ayam, penulis skrip filem ini) dengan tone warna tak ceria menggambarkan kotor dan debunya Kuala Lumpur. Oh ya, satu kekurangan filem ini ialah banyak sangat ‘beeppp’ menutup dialog dialog yang aku rasa tak diluluskan LPF (Tapi setiap kali bunyi beepp kau akan babi kan LPF). Harap harap kalau ada versi DVD setiap dialog yang di ‘beep’ kan akan dapat kita dengar. Kesimpulannya, pada pendapat aku filem ini sebuah filem yang baik, memaparkan sisi gelap anggota polis dan Kuala Lumpur dan tak semua orang suka untuk menonton sisi gelap ini selama 80 minit kerana ianya tidak se ‘fun’ filem komedi seram atau filem adaptasi majalah Mastika. Cumanya aku berharap sangat kalau pun filem ini tidak dapat mengutip puluhan juta, sekurang kurangnya ia dapat mengutip balik modal supaya pembikin filem seperti ini tidak berputus asa. Sekurang-kurangnya, selepas dihidangkan dengan cheese burger dan cheesy wedges, sekali sekala kita perlu ulam ulaman seperti ini yang walaupun pahit untuk ditelan, tetapi baik untuk kesihatan. Tonton segera sebelum taukeh panggung wayang mengurangkan waktu tayangan!

Psst: Semua lagu ost filem ni kena siot. Kami dengan yang disyaki tu okay lah kena dengan scene, tapi lagu Prindu (Laila’s Lounge) masa ending tu;

Tak percaya,

Kerana cinta

Bisa menghukumi diriku.

Misteri Dilaila: Selamat Kembali Syafiq Yusof!
Saya mengikuti perkembangan Syafiq Yusof sejak dari mula dia cuba cuba menjadi pengarah dengan mengarah beberapa filem pendek di akaun
Read more.
Sokola Rimba: Hak Pendidikan Anak Anak Rimba
Pendidikan adalah hak untuk setiap kanak kanak di dunia. Menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014, seramai 60.12 juta
Read more.
New Year, New Day and Two Spanish Films
The Bar I always like ‘whodunit’ type of film and was expecting The Bar (el Bar) is one of that
Read more.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *