Review Filem : Bisik Pada Langit

Bisik Pada Langit sebenarnya dijadualkan untuk ditayangkan pada tahun lepas, sebagai sebuah super-tele di Astro First. Bah kan, promosi  untuk super-tele tersebut telah dijalankan oleh pihak Astro namun pada saat saat akhir super-tele ini ditukar format kepada filem untuk ditayangkan di pawagam. Atas sebab apa aku tak berapa pasti, tapi desas desus mengatakan yang sesi pra tonton filem ini (yang ketika itu masih lagi dalam format super-tele) mendapat pujian para pengkritik dan ramai antara mereka berpendapat ianya terlalu bagus untuk hanya disiarkan di kaca televisyen. Syukur atas keputusan tersebut, kita semua dapat menikmati sebuah filem melodrama yang baik di layar lebar panggung wayang kerana aku tak dapat bayangkan filem sebaik ini ditayangkan di kaca kecil televisyen kerana ianya akan mencacatkan roh ‘melodrama’ nya yang membuak membuak dari awal sehingga penghujung cerita (kecuali lah kalau rumah kau ada sistem audio yang sedap nak mampus dan televisyen bersaiz 110 inci). Filem semacam ini, sedap untuk ditonton di panggung wayang dengan sekotak tisu ditangan (lol).

Melalui Bisik Pada Langit, kita dibawa menyelusuri watak seorang ayah iaitu Wak Rosli dari hari pertama kelahiran Hajar. Babak babak awal yang menonjolkan betapa sayangnya Rosli terhadap Hajar, satu satunya anak perempuannya – melebihi kasih sayang yang dia tunjukkan kepada anak-anaknya yang lain. Lalu satu tragedi menimpa Hajar dan dari situ kita dihidangkan dengan perjalanan emosi dan spiritual setiap watak dalam menerima kenyataan dan takdir. Premis filem ini mudah dan berpotensi untuk jadi membosankan jika sampai ke tangan pengarah yang salah dengan barisan pelakon yang lemah. Tetapi Bisik Pada Langit beruntung kerana ianya digarap oleh salah seorang pengarah ‘ air mata ‘ paling hebat di negara kita, Khabir Bhatia. Khabir Bhatia tahu bagaimana untuk memerah air mata penonton. Khabir Bhatia tahu untuk mengarah babak babak ‘melodrama’ tanpa ia jadi membosankan dan filem semacam ini perlu kan drama yang kuat.

Barisan pelakon seperti Jalil Hamid (aku tak faham kenapa dia tak tercalon dalam kategori pelakon lelaki terbaik FFM 29 haritu), Ummi Nazeera (ada babak babak monolog ‘video call’ yang memerlukan Ummi bermain dengan emosi tanpa bantuan siapa siapa di depan kamera dan dia melakukan dengan cemerlang), Beto Kusyairy (Beto Kusyairi yang dalam diam pun subtle!), Naim Daniel dan Fadilah Mansor masing masing berjaya menampilkan mutu lakonan yang tinggi. Ingat, filem sebegini jika diperankan oleh pelakon yang ‘kosong’ akan jadi sangat menjengkelkan, bosan dan lucu. Di tangan para pelakon utama filem ini, tidak perlu babak menangis teresak esak untuk menimbulkan kesedihan kepada penonton. Cukup sekadar mainan jiwa dan rasa yang ditonjolkan dari dalam dan dilontarkan dalam setiap dialog secara berkesan. Pujian juga harus diberikan kepada Erwin Dawson, walaupun dia tidak sebaik pelakon pelakon lain tapi tidaklah terlalu kayu lakonannya untuk seorang pelakon baru.

Tidak keterlaluan kalau aku kata kan yang kekuatan utama filem ini terletak di tangan pelakonnya yang berjaya membesarkan setiap babak kerana pada asasnya perjalan filem ini bergerak dengan agak perlahan. Bercakap tentang runut bunyi, runut bunyi bagi filem ini ialah lagu lygophobia dendangan Akim and the Majistret yang ‘kena’ dan digaul baik dengan babak setiap kali ia muncul (padahal lagu tu secara sendirinya sendu dan flop ketika di rilis kan pada tahun lepas). Kelemahan filem ini pula adalah pada beberapa babak yang jelas kelihatan ‘dibuat untuk televisyen‘ (aku tergelak kecil setiap kali keluar dialog atau babak babak ‘cerekarama’ yang melebih lebih tapi memandangkan memang filem ini pada asalnya dibuat untuk televisyen, ianya dimaafkan) walaupun ianya berkesan memerah air mata penonton. Oh ya, terdapat beberapa perkara sepanjang filem seperti telefon bimbit Nokia 3310 yang digunakan Wak Rosli tiba tiba boleh loudspeaker, baju merah kotak kotak sama yang dipakai Irwan dalam banyak babak dengan latar masa berlainan (kau takde baju lain ke, bro?) dan beberapa hal hal kecil lain yang mengganggu fokus penonton (sekurang-kurangnya aku tapi takpe aku maafkan jelah).

Kesimpulannya, Bisik Pada Langit ialah sebuah filem melodrama yang dibikin dengan baik dan pada aku, filem ini mendapat nasib malang kerana ia dilahirkan di Malaysia. Aku percaya, filem ini, kalau ditayangkan di Indonesia akan diraikan oleh peminat filem disana kerana sekurang-kurangnya filem filem yang mengangkat tema kekeluargaan, cinta dan kasih saying sebegini masih mendapat tempat dalam kalangan penonton di sana.

Psss: Buktikan yang aku salah, Bisik Pada Langit masih ditayangkan di pawagam seluruh negara – pergi tengok cepat!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *