Sokola Rimba: Hak Pendidikan Anak Anak Rimba

Pendidikan adalah hak untuk setiap kanak kanak di dunia. Menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014, seramai 60.12 juta kanak kanak (pendidikan awal) seluruh dunia masih dinafikan hak asas ini. Walaupun jumlah ini makin berkurang tahun demi tahun, angka ini dilihat masih tinggi memandangkan data tersebut hanya merangkumi kanak kanak yang sepatutnya mendapat pendidikan awal. Angka keseluruhan untuk kanak kanak sehingga remaja yang tidak mendapat pendidikan adalah seramai 263 juta. Dalam pada kita seronok menjalani mudahnya hidup di alam milenia, jauh di pendalaman benua Afrika misalnya, masih ramai kanak kanak yang tidak mengenal huruf!

Filem Sokola Rimba merupakan arahan Riri Riza, pengarah berbakat yang pernah mengarah Petualangan Sherina dan Ada Apa Dengan Cinta yang pada pendapat peribadi aku merupakan antara dua filem penting dalam membangkitkan kembali industri perfileman Indonesia yang boleh dikelaskan sebagai telah mati pada era 90an. Tema yang dibawa Sokola Rimba bukanlah asing di tangan Riri Riza yang pernah mengangkat Laskar Pelangi dan Sang Pemimpi ke layar perak. Ceritanya masih bermain dalam lingkaran yang sama seperti Laskar Pelangi, hak pendidikan dan betapa pentingnya ilmu untuk pembentukan awal kanak kanak tetapi kali ini skopnya terarah kepada Orang Rimba.

Orang Rimba merujuk kepada suku kaum minoriti yang hidup di Pulau Sumatra. Mereka masih mengamalkan cara hidup purba di dalam hutan dan terasing dari kemodenan dunia luar. Mereka hidup secara berkelompok dan berpindah randah dari satu tempat ke tempat yang lain. Semenjak tahun 1970, habitat mereka mulai terancam dengan aktiviti pembalakan dan penebangan hutan oleh pihak berkuasa. Mereka yang tidak mampu melawan dan tidak mengenal hak hanya mampu berpindah dari satu tempat ke tempat lain sebaik habitat mereka terancam.

Sokola Rimba mengangkat isu ini dengan menceritakan perjuangan Butet Manurung (lakonan hebat Prisia Nasution. Oh Tuhan, aku tak dapat bayangkan betapa malapetakanya kalau watak ini dibawa oleh aktres cantik lembik) untuk menyebarkan ilmu kepada anak anak Orang Rimba. Butet dipertemukan dengan Bungo, seorang anak rimba dari wilayah yang jauh dari tempat kebiasaanya dia mengajar di hulu hutan. Kesungguhan Bungo yang sanggup datang dari wilayah yang jauh dari dalam hutan ke tempat dia mengajar menyedarkan Butet yang masih ramai anak Orang Rimba yang dinafikan hak mereka untuk mendapatkan pendidikan. Isu isu lain seperti penipuan pihak berkuasa dalam memanipulasi kebodohan Orang Rimba untuk sedikit demi sedikit melakukan penebangan hutan turut ditekankan dalam filem ini.

“Pendidikan adalah senjata untuk menghadapi tekanan perubahan sedangkan ilmu adalah senjata untuk beradaptasi”

Walaupun mendapat tentangan dari sesetengah Orang Rimba yang memegang kerpecayaan pensil dan kertas hanya membawa kecelakaan dan ilmu hanya akan menyebabkan yang terpelajar mula lupa asal usul dan pergi mengejar kemodenan tanpa kembali ke dalam hutan, Butet tetap berusaha menyampaikan ilmu kepada anak anak Orang Rimba.

Aku sangat tertarik dengan cara filem ini menyampaikan cerita tanpa perlu memperlekehkan pemikiran Orang Rimba yang takut dengan pembaharuan. Ilmu di dalam filem ini diletakkan sebagai senjata menghadapi ancaman luar (pihak berkuasa yang datang menawarkan perjanjian berat sebelah yang mengancam habitat Orang Rimba) dan beradaptasi dengan dunia luar (kita dapat melihat Bungo diajar oleh Butet menggunakan wang untuk membeli di pasar) tanpa perlu memperlekehkan asal dan cara hidup Orang Rimba.

“ Menurut saya, mereka lebih punya rasa pengertian terhadap lingkukan dibanding kita “

Bicara Dr. Astrid kepada Butet saat menyatakan pendapatnya yang menolak Orang Rimba adalah golongan primitive dan bodoh. Filem in jelas menghormati cara kehidupan Orang Rimba dalam ketegasannya mengetengahkan isu pendidikan. Seseorang anak rimba seperti Bungo tidak perlu lari dari asalnya hanya kerana dia beroleh pendidikan.

Filem ini tidaklah seberat Laskar Pelangi mungkin kerana ianya berdasarkan kisah benar catatan Butet Manurung sendiri tapi isu yang diangkat tetap penting. Pendidikan adalah hak untuk setiap kanak kanak dan hanya dengan ilmu, kita mampu beradaptasi dalam menghadapi dunia. Walaupun filem ini bukanlah yang terbaik dari Riri Riza, ianya tetap tidak mengecewakan dalam menyampaikan isu isu penting dan bukan sekadar hiburan kosong.

Misteri Dilaila: Selamat Kembali Syafiq Yusof!
Saya mengikuti perkembangan Syafiq Yusof sejak dari mula dia cuba cuba menjadi pengarah dengan mengarah beberapa filem pendek di akaun
Read more.
Sokola Rimba: Hak Pendidikan Anak Anak Rimba
Pendidikan adalah hak untuk setiap kanak kanak di dunia. Menurut satu kajian yang dijalankan pada tahun 2014, seramai 60.12 juta
Read more.
New Year, New Day and Two Spanish Films
The Bar I always like ‘whodunit’ type of film and was expecting The Bar (el Bar) is one of that
Read more.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *